burung terbang



Saturday 31 October 2015

 KOS SARA HIDUP MASA KINI


Dewasa ini, pembangunan di Malaysia semakin rancak dilaksanakan oleh pelbagai pihak. Malah, kerajaan telah merangka dasar-dasar yang mampu menukar wajah Malaysia dalam mengejar Wawasan 2020.  Pelbagai inisiatif sedang giat dilakukan oleh Malaysia untuk menempah nama di peringkat antarabangsa antaranya ialah menerajui bakat global menerusi program tarikan bakat dan komitmen untuk menambah tenaga dan kesesuaian tempat tinggal kawasan bandar utamanya. Disamping itu, jangkaan persekitaran dasar mesra serta pertumbuhan kukuh akan berterusan melepasi 2020 dan  terus mendaki rantaian nilai termasuk membangunkan keupayaan berinovasi yang akan memacu pertumbuhan dalam produktiviti. Hal ini mungkin memberi seribu makna kepada negara malah terdapat masalah lain yang menjadi cabaran kepada seluruh rakyat Malaysia untuk meneruskan kehidupan yang serba moden bersisihan dengan pendapatan penduduk dan kemiskinan bagi menampung kos sara hidup yang kian meningkat.

Bagi pihak kerajaan, menangani kos sara hidup tinggi secara mutlak merupakan perkara yang sukar dicapai berikutan keadaan ekonomi yang bersifat berubah-ubah. Namun, sebagai pengguna, isu kos sara hidup tinggi boleh dikawal agar kesannya adalah minimum. Cumanya masyarakat Malaysia khususnya golongan belia perlu mampu dan bijak membezakan antara kehendak dan keperluan harian.
Kos sara hidup yang tinggi sering menghantui penduduk Malaysia terutamanya yang tinggal di kawasan bandar. Berikut merupakan 10 tempat/bandar paling mahal di Malaysia dari segi kos sara hidup.
1. Pulau Pinang (bahagian pulau)
2. Bintulu, Sarawak
3. Paka/ Kerteh, Terengganu
4. Miri, Sarawak
5. Kuala Lumpur
6. Kuala Terengganu, Terengganu
7. Kuching, Sarawak
8. Klang
9. Labuan
10. Johor Bahru



Perkara yang dikaji pula adalah harga barangan keperluan harian seperti ayam, sayuran seperti sawi dan cili merah, ikan, kadar sewa rumah dan juga keperluan pendapatan minima untuk hidup sempurna. Dengan kadar sewa rumah serta harga rumah yang tinggi dan harga barangan keperluan harian yang agak mahal, seseorang memerlukan gaji sekurang-kurangnya RM4,000 sebulan untuk tinggal di sebelah pulau di Pulau Pinang. Ia dikira paling tinggi berbanding bandar-bandar lain di Malaysia. Turut mengiringi Pulau Pinang adalah bandar perindusrian Bintulu di Sarawak dan Paka di Terengganu.
Selain barangan dan makanan, satu lagi punca kos sara hidup yang tinggi ialah harga rumah dan kenderaan yang tinggi. Seorang pemaju perumahan pernah menyatakan keuntungan bagi setiap rumah banglo ialah dalam lingkungan RM30,000-RM40,000 dan ini menyebabkan pemaju perumahan lebih berminat untuk membangunkan rumah mewah berbanding rumah mampu milik kerana keuntungan yang amat tinggi.

Sekali lagi, kerajaan perlu mengawal harga rumah. Jangan sesekali membiarkan sistem pasaran bebas menguasai harga rumah di Malaysia. Itu baru bab rumah. Belum lagi kenderaan. Harga kenderaan di Malaysia juga masih tinggi berbanding luar negara sehingga ada pembeli terpaksa berhutang selama 9 tahun. Apabila habis membayarnya, kereta pun sudah tidak begitu elok. Terpaksalah membeli sebuah lagi. Jadi, terpaksalah menanggung hutang sehingga ke tua.



Tambahan lagi, Pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) adalah satu perkara besar yang membawa kesan mendalam kepada rakyat. Dalam keadaan inflasi yang masih tinggi secara berterusan, pelaksanaan GST akan menambah bebanan sara hidup rakyat, kadar cukai pendapatan diturunkan serta merta apabila GST diperkenalkan, lantas rakyat tidak mengalami bebanan cukai tambahan kerana sumbangan cukai dari rakyat hanya dialihkan dari cukai pendapatan kepada GST.

Apabila GST telah dilaksanakan di Malaysia, 10 juta rakyat Malaysia yang selama ini tidak layak membayar cukai terpaksa menanggung bebanan cukai baru. Ini menambah beban mereka yang terpaksa berdepan dengan persoalan gaji yang rendah, inflasi yang meningkat dan bebanan cukai yang baru.


Hakikatnya, tekanan ini bukan sahaja dirasai oleh golongan berpendapatan rendah tetapi juga bagi golongan berpendapatan sederhana. Kerajaan perlu memerangi kos
kehidupan rakyat yang tinggi dengan mengambil kira tekanan yang dirasai oleh dua golongan ini.


No comments:

Post a Comment