burung terbang



Saturday 31 October 2015

"LAMBAKAN SISA PEPEJAL"


Sisa pepejal merupakan bahan buangan yang paling mudah didapati dan paling banyak dihasilkan. Masalah pembuangan sisa-sisa pepejal kian ketara sejak kebelakangan ini. Isu tentang sisa pepejal ini jarang sekali diviralkan tetapi menjadi salah satu perkara yang begitu serius kerana kewujudan sisa pepejal yang semakin bertambah dari tahun ke tahun. Sisa pepejal yang wujud adalah meliputi sisa makanan, plastik, kertas, besi, kaca dan lain-lain. Statistik terbaru menunjukkan purata penghasilan sisa pepejal setiap penduduk di Malaysia adalah sebanyak 250 kg setahun. Daripada jumlah tersebut hanya kira-kira 2% digunakan semula manakala selebihnya ditanam di tapak pelupusan atau dibuang secara haram. 
sebuah jentera sedang mengalihkan sampah untuk pelupusan

Hal ini terjadi kerana pertambahan sumber atau punca terhasilnya sisa pepejal tersebut. Antara punca yang menyebabkan bertambahnya sisa pepejal ialah pertambahan jumlah penduduk, gaya hidup penduduk Malaysia, pengurusan sisa pepejal yang tidak sistematik, dan kutipan sampah yang tidak tepat pada masanya. Hal ini mengundang kepada pertambahan bilangan dan angka peratusan lambakan sisa pepejal di Malaysia. Disampin itu, Sisa pepejal yang dihasilkan setiap hari membawa kesan yang negatif terhadap alam sekitar. Sisa pepejal juga boleh menyebabkan pelbagai jenis pencemaran yang lain seperti pencemaran udara, pencemaran tanah-tanih dan pencemaran air. Ia bukan sahaja memberi kesan kepada alam sekitar, bahkan terhadap sosial dan kesihatan manusia.

lori sampah sedang memungut sampah di setiap kediaman
Menurut Jabatan Sisa Pepejal Negara (JSPN) mendapati sisa makanan membentuk sebanyak 45 peratus daripada jumlah keseluruhan 29,000 tan sisa pepejal yang dihasilkan dalam masa sehari di negara ini. Jumlah itu merupakan hasil kajian sepanjang tempoh lima bulan pertama tahun ini. Pertubuhan Pertanian dan Makanan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) menganggarkan sebanyak 1.3 bilion tan sisa makanan di hasilkan setiap tahun, bersamaan jumlah pengeluaran makanan di Sub-Sahara Afrika. Malah, dalam masa sama seorang daripada tujuh manusia tidur dalam keadaan lapar. Lebih 20,000 kanak-kanak di bawah umur lima tahun di seluruh dunia mati akibat kelaparan setiap hari. Statistik yang menggerunkan ini sewajarnya menyedarkan kita tentang nilai makanan dari segi sosial dan ekonomi.

sebuah jentera sedang menuang sampah di tempat pelupusan
Walaupun Malaysia mempunyai jumlah tapak pelupusan sisa pepejal yang banyak namun jumlah ini tidak mencukupi untuk menampung jumlah sampah yang dihasilkan. Antara kaedah pelupusan sampah yang digunakan adalah pembuangan sampah terbuka (open dumping), pelupusan terkawal (controlled tipping), rawatan 'leachate' dan dikambus. Kaedah pelupusan sampah jenis ini berisiko tinggi terhadap alam sekitar dan manusia di sekitar kawasan tapak pelupusan itu. Sebagai contoh, tapak pelupusan terbuka boleh memberi kesan kepada sistem tanah dan air di kawasan tersebut. Selain bau busuk, penyakit mata dan kulit juga boleh mengganggu hidup manusia di persekitaran kawasan tapak. 

Pengurusan sisa pepejal di Malaysia telah berubah mengikut masa. Teknologi yang digunakan di dalam pengurusan ini juga semakin canggih. Penggunaan teknologi dan system pengurusan yang canggih adalah semata-mata untuk mencapai kualiti alam sekitar yang baik bagi negara Malaysia . Kerajaan bertanggungjawab untuk mencapai matlamat ini. Walaubagaimana pun, rakyat juga mempunyai tanggungjawab yang sama. Haruslah diingat bahawa manusia adalah khalifah di bumi ini. Oleh itu, tanggungjawab menjaga alam ini adalah tanggungjawab kita bersama. Bermula di rumah, sisa yang dihasilkan perlu diuruskan dengan baik agar pengurusan pada peringkat yang lebih tinggi menjadi mudah dan berkesan.




No comments:

Post a Comment